Pages


Sunday, April 14, 2013

Dakwah Rasulullah S.A.W


Assalamualaikum...

Artikel kali ini lebih menjurus tentang Rasulullah S.A.W. Tanda cinta dan sayang kita kepada baginda nabi Muhammad S.A.W, kita seharusnya mengambil peduli tentang kisah-kisah baginda. Entri ini menyentuh tentang peringkat-peringkat dakwah dan pendekatan yang baginda gunakan dalam berdakwah...

Firman Allah :

Maka disebabkan rahmat Allah SWT kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada kamu. Oleh itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang yang bertawakkal.
                                                                                                                             (Surah Ali-Imran:159)

Kita perlulah mencontohi cara dakwah Rasulullah s.a.w. Lemah-lembut adalah merupakan cara dakwah yang telah dilaksanakan oleh baginda. Dari segi pertuturan,pergaulan dan tindakan baginda yang hebat,telah menyebabkan orang kafir tertarik kepada orang Islam. Sebagai contoh,orang musyrik yang berhati keras dan menentang dakwah Rasulullah SAW berubah, beriman dan cinta kepadanya setelah mengenali peribadi luhur baginda.

Baginda adalah merupakan seorang yang pemaaf. Baginda memaafkan kesalahan yang dilakukan kepada Baginda. Baginda juga tidak menyimpan perasaan dendam. Baginda sentiasa berdoa supaya mereka di kurniakan hidayah dan menerima Islam.

Baginda seringmemohon keampunan untuk orang lain Baginda amat prihatin terhadap masa depan umatnya. Dalam perang Uhud, Baginda cedera parah tetapi baginda tetap berdoa untuk umatnya.

Baginda sering mengadakan mesyuarat. Baginda bermesyuarat dengan para sahabat ketika membuat keputusan penting yang tiada ketetapan daripada Al-Quran.Sebagai contoh, dalam perang Khandak, Baginda menerima cadangan Salman Al-Farisi supaya menggali parit sebagai kubu menghadapi serangan musuh. Di dalam matlamat bermesyuarat, keputusan yang diambil oleh baginda adalah keputusan yang terbaik dan dapat memberi kepuasan kepada semua pihak. Baginda sentiasa mendengar,menghormati dan menerima pandangan orang lain.

Selain itu, Baginda sering bertawakal dalam setiap perlaksanaan. Di dalam perang Badar, Baginda kekurangan senjata dan tentera. Baginda bersama tentera islam yang lain terpaksa menghadapi tentera musyrikin tiga kali ganda lebih besar jumlahnya. Baginda telah mencari tempat strategik, bersabar dan bertawakal kepada Allah SWT. Berkat doa baginda,baginda berjaya menewaskan tentera Musyrikin.

Jenis Jenis Dakwah Rasulullah

Baginda turut berdakwah secara rahsia. Antara dakwah yang telah baginda laksanakan adalah,Baginda  telah menyeru orang perseorangan daripada  kalangan keluarga yang terdekat dan  sahabat-sahabat yang rapat. Kebanyakan  pengahut islam pada peringkat ini dari kalangan hamba dan  orang miskin. Rumah al-arqam bin abi al-arqam dijadikan sebagai pusat penyeruan islam dan mempelajari islam secara sulit . Strategi dakwah secara sulit ini berjalan selama 3 tahun.

Baginda mempunyai sebab tersendiri untuk berdakwah secara rahsia . Antara sebab- sebab Rasulullah berdakwah secara rahsia (sulit) adalah kerana bilangan penganut Islam masih sedikit. Selain itu,Baginda juga ingin mengelakkan penentangan terbuka dari kafir Quraisy. Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah bertentangan dengan amalan biasa  masyarakat  Arab pada masa itu. Selain itu,dakwah secara sulit adalah selaras dengan  strategi dakwah yang berhikmah.

Terdapat beberapa hikmah dakwah secara rahsia yang dilaksanakan oleh baginda. Antara hikmah tersebut adalah ajaran Islam dapat disampaikan dan diterima tanpa gangguan. Dakwah secara rahsia juga dapat menghindari penentangan terbuka dari kafir Quraisy. Ianya juga dapat mengelakkan  kejutan kepada  masyarakat Arab yang  mengamalkan kepercayaan dan amalan tradisi nenek moyang mereka.

Baginda turut berdakwah secara terus terang kepada kaum kerabat. Cara ini dilaksanakan setelah menerima perintah Allah melalui firman Allah bermaksud :

“ Dan berilah peringatan kepada kerabatmu  yang terdekat “

Setelah  turun ayat ini, baginda  telah mengadakan jamuan di rumah Ali bin  Abi Talib . Semua kaum keluarga dijemput  dan  baginda  menerangkan  tentang dasar-dasar agama Islam .Sebahagiannya menerima dan sebahagian lagi menentangnya.

Baginda turut berdakwah secara  terus terang kepada orang ramai ( umum). Dakwah ini dijalankan oleh Rasulullah setelah turun perintah Allah daiam surah Al Hijr ayat 94 yang bermaksud :

“Sampaikanlah secara berterus  terang apa yang diperintahkan kepada kamu (wahai Muhammad) dan  jangan engkau  hiraukan  bantahan dan tentangan kaum  musyrikin”

Apabila turun ayat ini Rasulullah terus menjemput kaum Quraisy serta  pembesar-pembesar Quraisy menghadiri  perjumpaan  (rapat umum)  di kaki  bukit Safa dan menyeru mereka kepada agama Islam dan   menyembah Allah swt. Dakwah pada peringkat ini  menerima tentangan yang hebat dari kafir Quraisy .Penganut Islam khususnya golongan hamba dan orang miskin  menerima pelbagai penyeksaan . Selepas peringkat ini,ajaran Islam terus tersebar luas dan pengikut Islam semakin bertambah meliputi penduduk Mekah dan luar.

Dakwah Rasulullah Kepada Remaja

Daripada Abdullah bin Abbas r.a. : Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW (di atas binatang tunggangannya), lalu sabda baginda :

 ‘Wahai anak, sesungguhnya aku mengajar kamu beberapa perkataan. Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam (tulisan) dan telah kering (tinta) buku catitan.”
(HR. Tarmizi)

Untuk Ibn Abbas, sejak kecil Rasulullah SAW telah berdoa untuknya:

“Ya Allah berikanlah kepadanya pemahaman tentang din, dan ajarkanlah kepadanya hikmah.”

Apabila Ibn Abbas di peringkat remaja, baginda bermusafir bersama-samanya dan terus mengambil peluang mentarbiahnya. Oleh itu dalam berdakwah untuk remaja (yang menjadi mad’u), kita perlu berdoa untuk masa depannya. Baginda juga telah merangkakan masa depan mad’u sesuai dengan potensinya. Baginda juga sentiasa memberi bimbingan yang berterusan.

Baginda memanfaatkan setiap masa yang ada, sehingga sewaktu bermusafir pun baginda mentarbiah mad’unya yang masih remaja. Baginda tidak mengambil mudah terhadap pendakwah kecil, bahkan baginda mengambil berat hal ehwal tarbiahnya.

Baginda sentiasa bersemangat untuk mentarbiah mad’unya, sehinggakan sewaktu bermusafir pun baginda tidak melepaskan peluang untuk mentarbiah. Baginda juga adalah merupakan seorang ketua negara yang agung dan manusia paling mulia, tidak merasa hina menaiki kenderaan bersama golongan remaja. Baginda memperlihatkan contoh pendekatan fizikal, bersentuhan dan bermesra dengan remaja. Baginda tidak merasai perbezaan jurang dengan golongan remaja.

Baginda mentarbiah remaja dengan pendekatan yang sesuai, ringan tetapi berterusan sepertimana kata baginda (yang bermaksud):

“aku ingin mengajar kamu beberapa perkataan”.

Baginda sentiasa meletakkan asas tauhid sebagai asas tarbiah generasi muda. Generasi muda yang sering gelisah dan sering dilanda pelbagai masalah dan ketakutan ,baginda berpesan supaya bergantung dan memohon pertolongan kepada Allah.

Hakikatnya, baginda telah merangkakan tarbiah jangka panjang untuk Ibn Abbas. Akhirnya lahirlah Ibn Abbas sebagai tokoh, pejuang dan pewaris risalah baginda. Begitulah juga para pendakwah di sepanjang zaman, perlu meletakkan satu rancangan jangka panjang dalam pembinaan generasi muda. Kita perlulah mempunyai pengorbanan, kesabaran, tawakkal dan istiqamah yang tinggi untuk berjaya.

No comments:

Post a Comment